| PROJEK ORKED: Sekalung Penghargaan |


Bismillahhirrahmannirrahim.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang.


Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT, Projek Orked telah berlangsung dengan jayanya. Setelah hampir 2 bulan bertungkus lumus setiap hari, akhirnya impian yang saya simpan sejak 2 tahun lepas akhirnya menjadi realiti, Alhamdulillah.


Al kisahnya projek ini adalah salah satu daripada perkara yang saya sertakan dalam 'bucket list' dalam hidup saya. Setelah menyertai Projek Rebung 2.0 anjuran MYCOT 3 tahun lepas, di mana saya merasa begitu bahagia bertemu dengan penduduk kampung serta sahabat baru di Bagan Serai, saya telah memutuskan jika diizinkan Allah SWT saya ingin menganjurkan program sebegini suatu hari nanti.


Selepas menyertai Projek Pelangi; Revive with Us di Gopeng, Perak pada Ogos yang lepas, saya mengenali dan memerhatikan ahli Pelangi yang gempak dan sangat geliga dari segi pemikiran dan pengurusan. Hatta, usainya projek tersebut, saya telah mengajak mereka untuk menyertai projek impian saya ini dan alhamdulillah pihak Pelangi telah menyambutnya dengan amat baik sekali.


Sepanjang projek ini tidaklah semudah yang disangka. Pada peringkat awal idea ini dibangkang dan direndahkan oleh beberapa pihak tertentu dan saya sendiri menghadapi kesukaran untuk menguruskan bilangan peserta yang begitu ramai. Kerana sudah terbiasa menguruskan sendiri 6 projek sebelum ini, mungkin saya sendiri masih kurang matang dalam menguruskan projek sebesar ini, disertai dengan emosi serta kekurang seorang insan kerdil yang bernama wanita. Wanita itu akalnya satu, nafsunya banyak. Ada kalanya tertawa, menangis duka, dan tidak kurang gilanya. Di situ kurangnya saya dan saya ingin memohon maaf andai terguris rasa, terkasar bahasa.


Alhamdulillah, dengan berkat ikhlasnya hati, pintu rezeki dibuka dengan berbagai cara yang tidak disangka-sangka. Dari pencarian AJK, pengumpulan dana serta hal hal lainnya, saya amat merasakan keberadaan Tuhan dalam setiap langkah perjalanan ini dan tanpaNya, tidaklah projek ini berjaya memberi impak yang saya harapkan.


Matlamat utama saya bagi projek ini adalah 3P; yakni PERSAHABATAN, PENGALAMAN dan PEMAHAMAN. Dan alhamdulillah, dengan izinnya saya merasakan semua matlamat tersebut telah dikecapi dengan keakraban yang saya lihat antara semua peserta yang kebanyakannya langsung tidak mengenali sesama sendiri. Mungkin itu yang dimaksudkan dengan jodoh pertemuan hati-hati manusia yang telah diatur dengan serba sempurna oleh Allah SWT.


Walaupun letih dan lelah terutamanya dengan masalah kesihatan yang saya hadapi sepanjang program, saya masih mampu tersenyum kerana hati saya merasakan begitu gembira dengan tercapainya sebuah impian yang sudah lama saya pendam. Maafkan saya sekiranya ada kalanya saya kelihatan seperti tidak turut serta membantu sepanjang projek; tetapi disebabkan kekangan kesihatan yang tidak mengizinkan dan banyak masanya saya menjadi 'runner' dan bidan terjun bagi program ini hingga ada masanya tidak sempat untuk saya berhenti rehat dan makan, dan saya mencuri sedikit masa untuk menarik nafas sebelum meneruskan kerja. Bukan semua usaha manusia kita boleh nampak, cuma saya yakin Allah yakin dan Allah tahu setiap bahagian kudrat, darah dan air mata yang telah saya curahkan dengan sepenuh hati untuk projek ini.


Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang tidak kiralah dari segi dana, masa mahupun tenaga serta doa. Hanya Allah dapat membalas jasa dan budi anda semua.

Harapan saya semoga projek ini membahagiakan semua kerana ia telah membahagiakan saya. Saya adalah seorang yang akan sentiasa cuba untuk memberi yang terbaik untuk orang yang saya sayangi meskipun ia memakan diri saya sendiri, dan dalam projek ini saya juga berbuat demikian. Perkenalan dengan anda semua amat saya hargai meskipun cuma seketika, dan jika ada jodoh di masa hadapan, kita pasti bersua, andainya bukan di sini biarlah di syurga sana, insyaAllah.


Sekian daripada saya, insan kerdil yang hina yang ingin merubah dunia.


Moga Allah redha. Allahumma ameen.


Yang ikhlas,


Anis Nadia

Pengarah Projek Orked.

Yalla Foundation; Spread the Love, Heal the World.